Beliau tidak mempunyai keluarga mahupun saudara mara yang dapat membantunya. Jika sebelum itu beliau menumpang tidur di rumah rakan-rakannya, namun semenjak menjadi gelandangan, setiap malam beliau terpaksa tidur di pusat perlindungan untuk gelandangan di bandaraya New York, berkongsi 4 katil dengan 7 orang gelandangan yang lain di dalam bilik yang kecil. Baginya ini lebih baik daripada tidur di jalanan yang berbahaya dan terdedah kepada cuaca malam yang sejuk.
Tanpa sebarang pekerjaan dan simpanan, Matthew terpaksa mengemis untuk meneruskan kehidupannya di bandar New York yang mempunyai kos hidup yang amat tinggi.
Tidak lama kemudian, salah seorang rakan beliau membantu mendapatkannya peluang untuk menjalani temuduga dengan pengurus salah satu cawangan Starbucks di New York.
Walaupun pengurus tersebut, Debbie Dooknah, sudah sedia maklum dengan keadaan Matthew yang hidup tidak terurus sebagai gelandangan, namun beliau tetap mengambil risiko menawarkan Matthew pekerjaan sebagai barista (pembancuh kopi) di cawangan Starbucks yang diuruskannya.
Pekerjaan tersebut membolehkannya hidup berdikari dan tidak perlu lagi mengemis, namun Matthew tetap terpaksa tidur di pusat perlindungan untuk gelandangan.
Kadar sewa kediaman di New York yang terlalu tinggi tidak memungkinkannya menyewa walaupun sebuah bilik. Untuk tempoh setahun seterusnya Matthew masih menghuni pusat perlindungan gelandangan.
Di pusat tersebut sukar untuknya mendapat tidur yang sempurna kerana terpaksa tidur bersesak dengan 7 orang lain dan adakalanya suasana menjadi bising.
Setiap hari, beliau perlu berada membuka Starbucks pada jam 4.30 pagi dan tanpa tidur yang cukup, ianya amat sukar. Adakalanya, beliau akan mengunci dirinya di dalam bilik mandi semata-mata untuk mendapat waktu tidur selama dua jam dengan cara menyandarkan kepalanya ke dinding.
Selain dari kesukaran untuk tidur, Matthew turut berhadapan dengan masalah kecurian barang di pusat pelindungan tersebut. Ini termasuklah kehilangan pakaian seragam kerjanya dari mesin pengering pakaian.
Di sebalik kesukaran itu, Matthew membuat komitmen untuk tidak menjadikannya satu alasan untuk datang lewat dan memastikan rakan-rakannya tidak menyedari kesukaran hidup yang dialaminya.
Kesukaran hidup yang dialaminya menjadikannya semakin cekal untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Hasilnya selepas 6 bulan bekerja, beliau dinaikkan pangkat menjadi penyelia dan dalam masa 6 bulan berikutnya lagi, beliau dilantik menjadi penolong pengurus cawangan Starbucks tersebut.
Jawatan baru akhirnya membolehkan Matthew mencapai impian pertamanya iaitu memulakan kehidupan sempurna dengan menyewa sebuah apartmen yang sesuai untuk didiami. Pada malam pertama beliau tidur di apartmennya, beliau menangis.
Matthew menjadi sungguh beremosi kerana itulah kali pertama dalam hidupnya beliau mempunyai tempat sendiri untuk berteduh dan tidak perlu lagi menumpang tidur di pusat perlindungan gelandangan.
Rezekinya tidak terhenti di situ. Beliau akhirnya dilantik menjadi pengurus cawangan Starbucks di lokasi baru dan tidak berapa lama kemudian beliau diamananahkan untuk mengurus salah satu cawangan Starbucks yang mempunyai jualan tertinggi di New York.
Walaupun telah mengecapi impiannya, memiliki kehidupan dan pekerjaan yang baik, Matthew tidak cepat merasa selesa dan berpuas hati dengan apa yang ada.
Beliau percaya beliau boleh pergi lebih jauh lagi dan mengembangkan lagi potensi dirinya. Pengalaman dan kemahiran yang diperolehi sepanjang bekerja tidak sekadar menjadikan dirinya seorang yang komited dan berdisplin, malah ia sedikit sebanyak membentuk sifat keusahawanan dalam dirinya.
Kerana itu beliau mengambil keputusan untuk meluaskan kareernya dengan menjadi ejen hartanah. Ini kerana beliau percaya bidang barunya ini akan membolehkannya menentukan sendiri pencapaian kareernya.
Untuk mencapai impiannya, Matthew membahagikan masanya bekerja di Starbucks selama 20 jam seminggu dan menjadi ejen hartanah selama 40 hingga 50 jam seminggu.
Dan kini, beliau merupakan seorang ejen hartanah di sebuah firma hartanah terkenal di New York.
(Diolah dari artikel asal di Forbes)
Semoga info di atas menjadi motivasi kepada sesiapa yang membacanya.